Sedikit Hadits Nabi SAW Mengenai Keadaan Akhir Zaman
Orang
Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada
Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Jika ada seseorang
berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang
paling rosak di antara mereka" (HR Muslim)
Menjual
Agama Kerana Dunia
Daripada
Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan keluar
pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual
agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang diperbuat
daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati
orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula, padahal hati
mereka adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada mereka "Apakah
kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu berani berbohong
kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang
akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan)
pun akan menjadi bingung" (HR Tirmizi)
Pendusta
Dan Pengkhianat
Daripada
Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan datang
kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si pendusta
dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh
memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan
berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan "Ruwaibidhah". Sahabat
bertanya "Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab
"Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang
ramai" (HR Ibnu Majah)
Penindasan
Terhadap Umat Islam
Daripada
Tsauban r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Hampir tiba suatu
zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu
bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka" Maka
salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami sedikit pada hari
itu?" Nabi SAW menjawab "Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai,
tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar
terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke
dalam hati kamu penyakit 'wahan'. Seorang sahabat bertanya "Apakah 'wahan'
itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab "Cinta dunia dan takut
mati" (HR Abu Daud)
Namanya
Saja Islam
Daripada
Ali bin Abi Thalib r.a. beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW
"Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali
hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya.
Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah
sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar
fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali " (HR Al-Baihaqi)
Budaya
Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada
Abu Sa'id Al-Khudri r.a. beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda
“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi
sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak
sekalipun kamu akan mengikut mereka" Sahabat bertanya "Ya Rasulullah!
Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?" Nabi SAW menjawab
"Siapa lagi?" (HR Muslim)
Ulama
Tidak Dipedulikan
Daripada
Sahl bin Saad as-Sa 'idi r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Ya
Allah! Janganlah Engkau menemukan daku dan mudah-mudahan kamu juga tidak
bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan
orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati
orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab" (HR Ahmad)
Ulama
Agama Semakin Berkurang
Daripada
Abdullah bin Amr bin 'Ash r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda "Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu
dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama
dengan mematikan para ulama. Apabila telah ditiadakan para ulama, orang ramai
akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil
itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan
menyesatkan orang lain" (HR Muslim)
Golongan
Anti Hadis
Daripada
Miqdam bin Ma'dikariba r.a. beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda
"Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk
bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis
dari hadisku maka dia berkata "Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah
sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan, dan apa yang ia
haramkan kami haramkan" (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya)
"Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah hukumnya dengan
apa yang diharamkan Allah SWT" (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berbangga-Bangga
Dengan Masjid
Daripada
Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Tidak terjadi
hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid" (HR Abu
Daud)
Tak
Ada Imam Untuk Solat Berjemaah
Daripada
Salamah binti al-Hurr r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda "Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri
tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat mengimami
mereka solat" (HR Ibnu Majah)
Penyakit
Umat Islam Masa Kini
Daripada
Abu Hurairah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Umatku
akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu"
Sahabat bertanya "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?"
Nabi SAW menjawab "Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu sombong,
2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam
merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki sehingga
menjadi zalim menzalimi" (HR Hakim)
Perangkap
Riba
Daripada
Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan tiba suatu
zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba.
Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena debunya" (HR
Ibnu Majah)
Manusia
Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada
Abu Hurairah r.a. beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW, "Akan datang
suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia mendapatkan harta,
apakah daripada sumber yang halal atau pun haram" (Riwayat Muslim)
Khamar
Daripada
Abu Malik Al-Asy'ari r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya
akan ada sebahagian dari umatku yang meminum khamar dan mereka menamakannya
dengan nama yang lain, sambil diiringi dengan alunan muzik dan suara biduanita.
Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah
mereka menjadi kera atau babi" (HR Ibnu Majah)
Banyaknya
Perzinaan
Daripada
Anas r.a. beliau berkata "Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah Hadis
yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda "Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak
kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki,
sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan"
(HR Bukhari Muslim)
Berpakaian
Tetapi Telanjang
Daripada
Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda ''Ada dua golongan
yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya belum pernah aku melihat mereka.
Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi yang
digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi
telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala
mereka bagaikan bonggol (belakang unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk
syurga, bahkan tidak akan dapat mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman
syurga itu akan terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim)
Perilaku
Manusia Masa Kini
Daripada
Aisyah r.a. beliau berkata "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda
"Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab
kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah banyak
orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani
melawan orang tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (HR
Thabrani)
Anak
Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada
Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang),; …kemudian Jibrail
bertanya kepada Rasulullah SAW " Maka khabarkan kepadaku tentang hari
kiamat?" Lalu Nabi SAW menjawab, "Orang yang ditanya tidak lebih
mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka Jibrail berkata "Kalau
begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya" maka Nabi SAW menjawab
"Bahawa hamba akan melahirkan tuannya, dan engkau melihat orang berjalan
tanpa kasut, dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya menggembala
kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan" (Riwayat Muslim)
Peperangan
Demi Peperangan
Daripada
Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda "Hari kiamat tidak akan
terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan sering
terjadi al-Harj. Sahabat bertanya "Apakah al-Harj itu wahai
Rasulullah?" Nabi SAW menjawab "Peperangan, peperangan, peperangan”
Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah)
Perang
Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan
Daripada
Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda "Tidak terjadi hari
kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya
sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak orang yang terbunuh kerana
merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada seratus orang
yang berperang, dan masing-masing yang terlibat berkata "Mudah-mudahan
akulah orang yang selamat itu" Dalam riwayat lain disebutkan "Sudah
dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu kelihatan
perbendaharaan dari emas, maka sesiapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia
mengambil sesuatu pun dari harta tersebut" (HR Bukhari Muslim)
[Terdapat
sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas dalam Hadis ini merujuk
kepada petroleum]
Islam
Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan
Daripada
Huzaifah bin al-Yaman r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Islam
akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian, sehingga orang tidak mengetahui
apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang dimaksudkan dengan solat,
apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan
dengan sedekah. Al-Quran akan hilang semuanya pada satu malam sahaja, maka
tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini daripadanya walaupun hanya satu
ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya orang
tua, lelaki, dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami sempat menemui
nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami pun
mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah)
Perselisihan
Yang Banyak
Daripada
Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. beliau berkata "Telah menasihati kami
Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air
mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah
ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada
kami" Lalu baginda pun bersabda "Aku berwasiat akan kamu supaya
sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin)
sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa
yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang
banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para
khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran
dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan
gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan,
kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat" (Riwayat Abu Daud
dan Tirmizi)
Golongan
Yang Selamat
Daripada
'Auf bin Malik r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Umat Yahudi
telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu
golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh akan masuk neraka. Umat
Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh
satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga.
Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi
tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan
tujuh puluh dua akan masuk neraka. Sahabat bertanya "Golongan mana yang
selamat?" Nabi SAW menjawab "Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah)
Orang
Asing
Daripada
Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Bersabda Rasulullah SAW "Islam mula
berkembang dalam keadaan asing, dan ia akan kembali asing pula. Maka
beruntunglah orang-orang yang asing" (HR Muslim)
Kepayahan
Orang Yang Beriman
Daripada
Anas r.a. Rasulullah SAW bersabda ''Akan datang kepada manusia suatu zaman di
mana orang yang berpegang teguh di antara mereka kepada agamanya laksana orang
yang memegang bara api. (HR Tarmizi)
Kesusahan
Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada
Ali bin Abi Thalib r.a. "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah
SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. Dan tidak ada di
badannya kecuali hanya selembar selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala
Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata
kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana
sangat dimanjakan oleh ibunya), dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang
(ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala
harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda
"Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, pergi pada waktu pagi
dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula.
Dan apabila diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain.
Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu
Kaabah?” Maka jawab sahabat "Wahai Rasulullah, tentunya keadaan kami pada
waktu itu lebih baik daripada keadaan kami pada hari ini. Kami akan memberikan
perhatian sepenuhnya kepada masalah ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi
untuk mencari rezeki" Lalu Nabi SAW bersabda "Tidak! Keadaan kamu
hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu" (HR
Tirmizi)
Golongan
Yang Sentiasa Menang
Daripada
Mughirah bin Syu'bah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
"Sentiasa di kalangan umatku ada golongan yang sentiasa menang (dalam
perjuangan mereka), sehingga tiba pada suatu waktu yang dikehendaki Allah SWT.
Mereka senantiasa menang. (HR Bukhari)
Pertempuran
Dengan Dajjal
Daripada
Nafi' bin Utbah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan
bertempur dengan Jazirah Arab, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu,
kemudian kamu akan bertempur dengan Parsi, dan Allah akan memberi kemenangan
kepada kamu; Kemudian kamu akan bertempur dengan Rom, dan Allah akan memberi
kemenangan kepada kamu; Kemudian kamu akan bertempur dengan Dajjal, dan Allah
akan memberi kemenangan kepada kamu.” (HR Muslim)
0 komentar:
Posting Komentar